Seorang ibu ingin meminjam wang dari anak lelakinya. Lalu dengan suara rendah disertai dengan rasa malu, dia pun berkata, "Nak, bolehkah ibu meminjam RM300? Ibu perlukan duit untuk beli barangan dapur,".
Seakan berat mengiakan kerana belum tentu isterinya membenarkan, lalu anaknya menjawab, "Iya ibu, nanti saya tanya isteri saya dulu ye,".
Ketika si anak masuk ke rumah, dia terlihat bungkusan lampin pakai buang anaknya yang hampir habis. Lalu dia pun terfikir:
"Lampin pakai buang sekarang sudah mahal, lebih kurang RM30 sebungkus. Sebulan lebih kurang 2 bungkus, RM60. 12 bulan darab dengan 60, RM720. Sekurang-kurangnya tiga tahun anak akan menggunakan lampin pakai buang dan jumlah keseluruhannya, RM2,160.
"Banyak juga duit yang digunakan untuk membesarkan anak-anak," katanya lalu terkenang kembali zaman kecilnya dahulu.
Sewaktu kecil, ibunya memberikan sepenuh kasih sayang pada dia tanpa berkira. Dibesarkan oleh ibunya sehingga kini sudah berjaya dan mempunyai keluarga yang boleh dikatakan senang. Apakah ibunya pernah meminta untuk dibalas jasanya? Sekiranya diminta, berapa nilai yang perlu dibayar?
Terus si anak keluar semula dan menatap wajah ibunya yang redup dimamah usia. Di depannya itu adalah wanita yang telah melahirkannya dan memberikan semua kasih sayang, harta dan semuanya pada diri ini tanpa mengharap sebarang balasan. Semuanya itu diterima dengan percuma.
"Maafkan anakmu ini yang tidak tahu membalas budi," katanya terus memeluk dan mengucup kening ibunya itu. Kemudian dia menghulurkan wang RM300 kepada ibu sambil menangis.
"Ibu, jangan berkata pinjam lagi ye. Harta saya adalah milik ibu juga. Doakan anak ibu ini agar sentiasa berbakti kepada ibu.
Kata-kata lelaki itu membuatkan ibunya sebak dan matanya berkaca.
"Nak, di setiap keadaan, ibu selalu berdoa agar kita semua selalu dikumpulkan di dunia dan di syurga nanti dalam kebahagiaan," katanya.
Bagi para isteri, beringatlah bahawa rezeki dari suami anda juga adalah hak mertua anda. Layanilah ibu mertua anda seperti ibu kandung sendiri.
Suami pula, beringatlah bahawa isteri anda juga berkemampuan memberikan wang kepada ibu bapa mereka walaupun tanggungjawab ibu bapa adalah lebih pada anak lelaki. Tetapi anak perempuan juga mahu membalas jasa ibu bapa mereka. Bertolak ansur dan bertimbang rasalah.
0 Response to "Nak, Boleh Tak Ibu Nak Pinjam RM300?"
Post a Comment